Pelbagai versi yang kita dengar
apabila berbicara mengenai sejarah April Fool. Ade yang mengaitkan
sejarah April Fool dengan Tragedi berdarah Granada umat Islam di
Sepanyol yang berlaku pada 1 APRIL 1847 MASIHI yang dikenali sebagai
“The April Fool Day” oleh golongan Kristian dan pelbagai versi lain
yang dikaitkan dengan sejarah April Fool. Namun apa yang ingin
ditekankan disini bukanlah mengenai sejarah APRIL FOOL, tetapi adalah
mengenai budaya APRIL FOOL yang jelas bertentangan dengan ajaran islam
yang mana Islam menuntut umatnya supaya sentiasa bersifat jujur dalam
kehidupan.
Apabila
membicarakan mengenai April Fool’s Day, mereka atau golongan-golongan
yang meraikan hari tersebut tidak dapat tidak lari daripada terlibat
dengan unsur penipuan yang mana ianya merupakan salah satu sifat
mazmumah atau sifat yang buruk yang dilarang dalam Islam.
Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyebut :
Menipu
adalah satu sifat yang buruk. Ia tidak layak diamalkan oleh manusia
yang berakhlak dan beriman. Bahkan ia adalah satu petanda kemunafikan.
Ini kerana Rasulullah SAW bersabda : Orang munafik mempunyai tiga ciri :
“Dia menipu, tidak menepati janji, dan tidak menunaikan amanah”. [HR
al-Bukhari dan Muslim]
Rasulullah
SAW memberikan amaran ke atas perbuatan menipu dengan tujuan
menghiburkan manusia. Baginda SAW bersabda: “Kecelakaan ke atas sesiapa
yang menipu untuk menghiburkan manusia, kecelakaan ke atasnya,
kecelakaan ke atasnya.” [HR Abu Daud, at-Tirmizi, dan an-Nasai’e]
“Seseorang
itu tidak dikira benar-benar beriman hinggalah dia meninggalkan
penipuan yang bertujuan untuk bergurau dan meninggalkan berdebat
walaupun dia membawa kebenaran”. [HR Ahmad dan At-Thabrani].
Sebahagian
hadis Nabi SAW turut memberikan amaran ke atas umat Islam daripada
menakutkan orang lain sama ada secara serius mahupun bergurau.
Rasulullah SAW bersabda: “Tidak dibenarkan seseorang menakutkan seorang
Muslim.” [HR Abu Daud]
Oleh kerana itu, menipu adalah dilarang dalam apa bentuk pun. Sambutan April Fool adalah dilarang kerana 4 sebab :
- Larangan menipu yang sudah termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah.
- Kesedihan dan ketakutan yang tidak berasas (yang disebabkan penipuan itu) yang mungkin boleh menimpa seseorang mahupun kesemua ahli keluarganya walaupun hanya untuk satu jam.
- Pengkhianatan ke atas kepercayaan yang diberikan.
- Meniru budaya buruk yang bukan milik kita, iaitu penipuan.
Penipuan
adalah dilarang kecuali ia dilakukan dalam keadaan dharurat. Di dalam
kes tersebut, kaedah “dharurat menjadikan yang haram harus” digunakan.
Dharurat hanya boleh diambil apabila tiada pilihan lain. Salah satu
bentuk penipuan yang dibenarkan ialah apa yang kita panggil sebagai
helah, iaitu menggunakan perkataan yang membawa lebih daripada satu
maksud. Umat Islam mungkin boleh mengambil pemahaman yang positif
daripada penafsiran perkataan (yang mempunyai dua makna) tersebut.
Diriwayatkan bahawa penipuan dibenarkan untuk memberikan manfaat, bukan untuk melakukan kerosakan.
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda: “Seseorang
yang mendamaikan di antara dua insan dan berkata perkara yang baik,
walaupun ia tidak benar, bukanlah seorang penipu.” [HR al-Bukhari dan Muslim].
Ummu
Kalsum binti ‘Uqbah turut berkata, di dalam tambahan lafaz ke atas
hadis itu, “Aku tidak pernah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wassalam membenarkan menipu kecuali di dalam tiga situasi; ketika
perang, untuk mendamaikan di antara dua pihak yang bertelagah, dan
perbualan biasa antara suami isteri.” Apa yang dimaksudkan dengan
perbualan biasa antara suami isteri ialah untuk meredakan kesusahan di
dalam kehidupan. [Islamonline. net]
Di dalam laman islamqa.com fatwa nombor: 10834
Shaikh Shalih Fauzan menyatakan:
Penipuan
adalah tidak dibenarkan langsung, pada bila-bila masa sahaja. Bahkan
adalah tidak dibenarkan untuk meniru orang kafir dan menjadi seperti
mereka, sama ada pada hari ini (hari April Fool), mahupun pada hari-hari
yang lain.
Ini kerana Rasulullah sallallahu alaihi wassalam bersabda (bermaksud): “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia sebahagian daripada mereka.”
Diantara
yang lain pula adalah fatwa dari Syaikh Muhammad ibnu Shalih ibnu
Utsaimin yang menyebut mengenai perkara: “Berbohong walaupun dalam
keadaan bergurau”. Berbohong tidak dibenarkan sama ada bergurau atau
serius kerana ia merupakan akhlak yang dicela yang mana tidak bersifat
dengan sifat ini melainkan munafiq. Amat menyedihkan apabila kita
banyak mendengar sebahagian manusia membahagikan perbohongan kepada 2
bahagian : ‘bohong putih’ dan ‘bohong hitam’. Apabila timbulnya
mudhorat seperti memakan harta atau sikap melampaui batas atau yang
seumpamaannya maka menurut mereka itu adalah bohong hitam. Apabila
tidak ada unsur-unsur seperti itu maka ia adalah bohong putih.Ini
adalah pembahagian yang batil. Bohong semuanya hitam. Namun ia
bertambah hitam setiap kali ia mendatangkan mudhorat yang lebih besar.
Sempena
topik ini saya ingin mengingatkan saudara saya umat Islam agar
menghindarkan diri daripada apa yang dilakukan oleh sebahagian manusia
yang tidak cerdik dengan apa yang dipanggil ‘April Fool’ yang saya rasa
tidak lama lagi. Pembohongan seperti ini yang diambil daripada orang
yahudi, nasrani,majusi dan orang kuffar. Kemudian disamping ianya adalah
dusta dan pendustaan adalah haram menurut syara’, ianya perbuatan yang
menyerupai orang bukan Islam. Menyerupai bukan Islam adalah haram.
Baginda telah bersabda:
“Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia adalah sebahagian daripada mereka”.
Kata Syaikhul Islam Ibnu Taimiah: Sanadnya Jayyid.
Kedudukan yang paling minima adalah haram walaupun zahirnya membawa
erti kekufuran orang yang menyerupai mereka (golongan kuffar).
Pembohongan (April fool) ini disamping ianya mengandungi dua larangan
tersebut, ia juga menjatuhkan martabat seorang muslim di hadapan
musuhnya. Ini kerana sudah sedia maklum pada tabiat kejadian manusia,
orang yang ditiru perbuatannya akan berbangga ke atas orang yang meniru
dan dia merasakan bahawa dirinya lebih kehadapan daripada orang yang
meniru perbuatannya oleh kerana si peniru menjadi lemah sehingga
sanggup menjadi orang yang meniru. Oleh itu pembohongan dalam april
fool ini merupakan penghinaan terhadap orang mukmin kerana dia menjadi
rendah diri dan mengikut orang-orang kuffar.
Kebanyakan daripada pembohongan ini adalah jijik , mengandungi
perbuatan memakan harta secara batil atau menakutkan muslim yang lain.
Barangkali dia berbohong mengatakan kepada orang lain: akan datang
tetamu hari ini. Lalu orang tadi memasak makanan yang banyak, lauk
daging dan seumpamanya. Barangkali juga dia bergurau dengan perkara
yang menakutkan orang lain seperti katanya: penjaga kamu dilanggar
kereta dan seumpamanya daripada perkara-perkara yang tidak dibenarkan
walaupun bukan pada situasi ini. Hendaklah seorang muslim bertaqwa
kepada Allah, berbangga dengan agamanya dan memandang tinggi terhadap
agamanya supaya musuh umat Islam gerun kepadanya dan menghormatinya.