Buscar

Showing posts with label Puisi. Show all posts
Showing posts with label Puisi. Show all posts

Puisi 11 : Luka di Hati



Hati ini mungkin mudah untuk kau takluki,
Namun ianya amat sukar untuk diubati,
Apakah ada ubat buat hati ini,
Sungguh aku rasa ia perlu diubati.

Mereka kata luka di luar mudah diubati,
Tetapi mengapa tidak luka di dalam,
Luka pada anggota perlukan ubat,
Bagaimana pula luka di hati?

Persoalan ini masih bermain di fikiran,
Adakah luka di hati amat sukar diubati,
Adakah ianya perlukan ubat,
Atau sekadar memaafkan dan melupakan.

Puisi 10 : Memori

Hari ini kita mampu untuk melihat,
kita mampu untuk berjalan,
malahan apa yang kita lihat itu kekal di ingatan,
amat sukar untuk dilupakan.

Benar kata sebilangan orang,
mereka yang hadir silih berganti,
namun memori itu akan tetap bermain di fikiran,
biarpun orang baharu hadir sebagai ganti.

Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa,
kerana mereka itu adalah sesuatu yang membuatkan kita kuat,
kuat menghadapi hari mendatang,
dan mungkin menjadikan kau seorang yang keras.

Puisi 9 : Impian

Terkadang aku sendiri tidak tahu apa yang aku inginkan,
aku duduk termenung sendirian,
kalaulah kejayaan itu akan hadir tanpa usaha,
aku pasti sudah ramai yang berjaya.

Begitulah juga dengan impian,
impian takkan dapat dicapai dengan sendiri,
ia takkan datang bergolek begitu sahaja,
perlu adanya usaha dalam sesuatu perkara.

Impian ini bukanlah sesuatu yang samar,
ia perlulah suatu yang nyata,
jika samar impian kau,
samar jugalah apa yang kau akan capai.

Puisi 8 : Perubahan

Jika dahulu aku seorang yang sinis,
mengapa tidak aku menjadi seorang yang ceria,
jika aku ingin lakukan perubahan,
sudah tentu aku perlukan masa.

Sememangya manusia memerlukan masa untuk berubah,
usah dikongkong mereka yang ingin berubah,
jangan terlalu jumud membuat pengadilan,
kelak perubahan tidak akan terkesan.

Jangan terlalu taksub dalam penilaian,
sebaiknya nilailah dengan sepenuh hati,
kita manusia sering iri hati,
kelak akan memakan diri.

Puisi 7 : Persoalan Kita

Terkadang kita tidak tahu apa yang diiginkan,
Hampir semua perkara kita inginkan,
Tidak terbeza yang mana nafsu dan kemahuan,
Lalu wang ringgit kita perjudikan.

GST bakal dilancarkan,
Entah apa terjadi kepada kita rakyat marhaen,
Terlalu banyak pro dan kontra dalam perlaksanaan,
Entah yang mana merupakan kenyataan.

Aku sebagai insan bawahan,
Ingin bertanya yang mana satu kenyataan,
Pembangkang dengan kenyataan mereka,
Kerajaan dengan pendirian mereka.

Lalu yang mana harus kita dengarkan?
Pembangkang atau kerajaan?

Puisi 6 : Aku

Kehidupan ini ada turun naiknya,
itu mereka yang kata,
bagi aku ada betulnya apa yang mereka kata,
kita hanya pendam dan simpan tiada kata.

Dahulu aku bukan begini,
keadaan yang merubah aku menjadi begini,
entah mengapa aku menjadi begini,
aku pun tidak pasti.

Apa yang aku pasti tentang diri aku,
aku kekal aku,
dan mungkin akan kekal sebegini,
kegilaan ini akan terus sebegini.

Puisi 5 : Terpaut

Biar kita melangkah senang,
jangan terlalu mengharap bantuan orang,
mulut mudah mungungkap senang,
agar hati menjadi tenang.

Bila hati ingin berpaut,
diri mudah menjadi penyangkut,
apabila selesai mereka bertaut,
kesudahannya apa yang ingin ku taut?


Puisi 4 : Taksub

Kadangkala aku terlalu taksub,
taksub dengan nikmat dunia,
telah sekian lama aku mengecapi nikmat ini,
adakah pernah aku bersyukur?

Sungguh aku malu,
malu dengan mereka yang kurang upaya,
aku melihat kekurangan mereka,
merupakan kekuatan buat mereka.

Tapi aku?
Ia boleh jadi kelemahan buat aku,
kerana boleh jadi aku makin jauh,
jauh dari sang Pencipta.

Puisi 3 : Soal Hati

Aku bukanlah manusia yang kuat imannya,
kadangkala lemah dengan permainan dunia,
terlalu alpa dengan usikan jiwa,
jiwa bergelora dengan dosa.

Hati manusia berbolak-balik sifatnya,
tiada siapa yang tahu apa isinya,
boleh jadi mereka berpura,
boleh jadi mereka memang setia.

Puisi 2 : Hidup

Hidup ini tidak dapat dijangka,
kadangkala menggembirakan,
kadangkala menyedihkan,
ia terlalu rumit buat kita sebagai hamba.

Siapa dapat menyangka apa akan terjadi kepada kita?
Tiada seorang pun yang dapat menjangka,
ahli nujum semuanya dusta,
yang tahu hanyalah sang Pencipta.

Puisi 1 : Janji

Manusia mudah menabur janji,
mereka merasakan janji ibarat mainan,
tiada lagi perlaksanaan selepas perjanjian,
yang tinggal hanyalah alasan tidak berkesudahan.

Apakah mereka tidak sedar yang mereka telah memberi harapan?
Nyatalah bahawa janji hanya sekadar ungkapan,
kata-kata yang akan hilang setelah diucapkan,
manusia picisan di zaman ini menghampakan.