Buscar

Sutrah dalam Solat

 Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud :

"Sekiranya seorang yang melalui di hadapan orang yang bersolat itu mengetahui apa jenis   dosanya (lalu di hadapan orang solat), nescaya untuk berhenti selama 40 tahun adalah lebih  baik baginya daripada meneruskan lalu di hadapan orang solat ini," Berkata perawi : "Aku tidak pasti ada nabi menyebut 40 hari atau bulan atau tahun." (Riwayat al-Bukhari)


Sutrah : Hikmah dan Falsafah
  • Sutrah bermaksud sesuatu objek yang dijadikan sebagai sempadan kawasan solat, ataupun sebagai penghadang. Sutrah boleh menggunakan apa-apa objek di depan arah kiblat seperti batu, tongkat atau tiang dan boleh juga dengan membuat satu garisan.
  • Hikamahnya adalah bertujuan unutk memusatkan pemikiran orang yang sedang solat, tanpa diganggu dengan lalu-lalang orang lain. Selain itu, ia bertujuan memberi tanda bahawa orang itu sedang solat.
  • Jarak antara kak dan sutrah adalah kira-kira tiga hasta (siku sampai hujung jari tengah) termasuk ruang untuk sujud.
  • Sutrah disyariatkan baik bagi solat secara berjemaah dan juga solat secara sendirian di rumah. Juga bagi solat sunat seperti Rawatuib, solat Dhuha, solat Tahiyatul Masjid dan lain-lain.
  • Dalam solat berjemaah, sutrah adalah di hadapan imam. Sutrah makmum mengikuti sutrah imam, maka dibolehkan melintasi makmum apabila ada keperluan (contohnya batal wudhuk)

Dalil:
  • Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud: "Apabila seseorang kamu inign bersolat, hendaklah ia meletakkan di hadapanya sesuatu. Sekiranya tiada, letaklah tongkat. Sekiranya tiada buatlah garisan kemudian tiada lagi mudarat bagi sesiapa yang melalui di hadapanya." (Riwayat al-Tirmizi, Abu Daud, Ahmad dan Ibn Hibban)
  • Sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud: "Apabila seseorang kamu telah meletakkan sesuatu di hadapannya sepeti pelana pejalan, maka bersolatlah, serta tidak perlu lagi memperdulikan sesiapa yang bejalan di belakang halangan tadi." (Riwayat Muslim dan al-Tirmizi)

Secara kesimpulannya, para ulama bersepakat bahawa meletakkan penghadang di hadapan ketika solat adalah sunat, tidak sampai ke tahap wajib. Namun jika dilihat kepada tujuan meletakkan sutrah ini, ternyata ia merupakan bentuk perkara sunat yang dituntut.

Detik Terakhir


Daripada Ibnu Mas'ud r.a., bahawasanya dia berkata:   "Ketika ajal Rasulullah saw sudah dekat, baginda mengumpul kami di rumah Siti Aishah r.a
Kemudian baginda memandang kami sambil berlinangan air matanya, lalu bersabda: Marhaban bikum, semoga Allah memanjangkan umur kamu semua, semoga Allah menyayangi, menolong dan memberikan petunjuk kepada kamu. Aku berwasiat kepada kamu, agar bertakwa kepada Allah. Sesungguhnya aku adalah sebagai pemberi peringatan untuk kamu. Janganlah kamu berlaku sombong terhadap Allah."   "Allah berfirman: Kebahagiaan dan kenikmatan di akhirat kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan dirinya dan membuat kerosakan di muka bumi. Dan kesudahan syurga itu bagi orang-orang yang bertakwa."  
Kemudian kami bertanya:   "Bilakah ajal baginda ya Rasulullah?"   Baginda menjawab:   "Ajalku telah hampir, dan akan pindah ke hadrat Allah, ke Sidratulmuntaha dan ke Jannatul Makwa serta ke Arsyila."  
Kami bertanya lagi:   "Siapakah yang akan memandikan baginda ya Rasulullah?"   Rasulullah menjawab:   "Salah seorang ahli bait."  
Kami bertanya:   "Bagaimana nanti kami mengafani baginda ya Rasulullah?" Baginda menjawab:   "Dengan bajuku ini atau pakaian Yamaniyah."  
Kami bertanya:   "Siapakah yang mensolatkan baginda di antara kami?"   Kami menangis dan Rasulullah saw pun turut menangis. Kemudian baginda bersabda:   "Tenanglah, semoga Allah mengampuni kamu semua. Apabila kamu semua telah memandikan dan mengafaniku, maka letaklah aku di atas tempat tidurku, di dalam rumahku ini, di tepi liang kuburku. Kemudian keluarlah kamu semua dari sisiku. Maka yang pertama-tama mensolatkan aku adalah sahabatku Jibril as. Kemudian Mikail, kemudian Israfil kemudian Malaikat Izrail (Malaikat Maut) beserta bala tenteranya. Kemudian masuklah anda dengan sebaik-baiknya. Dan hendaklah yang mula solat adalah kaum lelaki dari pihak keluargaku, kemudian yang wanita-wanitanya, dan kemudian kamu semua."  
SEMAKIN TENAT
Semenjak hari itu, Rasulullah saw bertambah sakitnya yang ditanggungnya selama 18 hari. Setiap hari, ramai yang mengunjungi baginda, sampailah datangnya hari Isnin, disaat baginda menghembuskan nafasnya yang terakhir.   Sehari menjelang baginda wafat iaitu pada hari Ahad, penyakit baginda semakin bertambah serius. Pada hari itu, setelah Bilal bin Rabah selesai mengumandangkan azannya, dia berdiri di depan pintu rumah Rasulullah, kemudian memberi salam:   "Assalamualaikum ya Rasulullah?"   Kemudian dia berkata lagi:   "Assolah yarhamukallah."   Fatimah menjawab:   "Rasulullah dalam keadaan sakit."  
Maka kembalilah Bilal ke dalam masjid. Ketika bumi terang disinari matahari siang, maka Bilal datang lagi ke tempat Rasulullah, lalu dia berkata seperti perkataan yang tadi. Kemudian Rasulullah memanggilnya dan menyuruh dia masuk.   Setelah Bilal bin Rabah masuk, Rasulullah saw bersabda:   "Saya sekarang berada dalam keadaan sakit. Wahai Bilal, kamu perintahkan sahaja agar Abu Bakar menjadi imam dalam solat."  
Maka keluarlah Bilal sambil meletakkan tangan di atas kepalanya sambil berkata:   "Aduhai, alangkah baiknya bila aku tidak dilahirkan ibuku?"   Kemudian dia memasuki masjid dan memberitahu Abu Bakar agar beliau menjadi imam dalam solat tersebut.   Ketika Abu Bakar r.a. melihat ke tempat Rasulullah SAW yang kosong, sebagai seorang lelaki yang lemah lembut, dia tidak dapat menahan perasaannya lagi, lalu dia menjerit dan akhirnya dia pengsan. Orang-orang yang berada di dalam masjid menjadi bising sehingga terdengar oleh Rasulullah saw.  
Baginda bertanya:   "Wahai Fatimah, suara apakah yang bising itu?"   Siti Fatimah menjawab:   "Orang-orang menjadi bising dan bingung kerana Rasulullah saw tidak ada bersama mereka."  
Kemudian Rasulullah saw memanggil Ali bin Abi Talib dan Abbas r.a. Sambil dibimbing oleh mereka berdua, maka baginda berjalan menuju ke masjid. Baginda solat dua rakaat.
Setelah itu baginda melihat kepada orang ramai dan bersabda:   "Ya ma aasyiral Muslimin, kamu semua berada dalam pemeliharaan dan perlindungan Allah. Sesungguhnya Dia adalah penggantiku atas kamu semua, setelah aku tiada. Aku berwasiat kepada kamu semua agar bertakwa kepada Allah SWT kerana aku akan meninggalkan dunia yang fana ini. Hari ini adalah hari pertamaku memasuki alam akhirat, dan sebagai hari terakhirku berada di alam dunia ini."  
MALAIKAT MAUT DATANG BERTAMU
Pada hari esoknya iaitu pada hari Isnin, Allah mewahyukan kepada Malaikat Maut supaya dia turun menemui Rasulullah saw dengan berpakaian sebaik-baiknya.   Dan Allah menyuruh Malaikat Maut mencabut nyawa Rasulullah saw dengan lemah lembut. Seandainya Rasulullah menyuruhnya masuk, maka dia dibolehkan masuk. Tetapi jika Rasulullah saw tidak mengizinkannya, dia tidak boleh masuk dan hendaklah dia kembali sahaja.  
Maka turunlah Malaikat Maut untuk menunaikan perintah Allah SWT. Dia menyamar sebagai seorang biasa. Setelah sampai di depan pintu tempat kediaman Rasulullah saw, Malaikat Maut itupun berkata:   "Assalamualaikum wahai ahli rumah kenabian, sumber wahyu dan risalah!"   Fatimah pun keluar menemuinya dan berkata kepada tamunya itu:   "Wahai Abdullah (hamba Allah), Rasulullah sekarang dalam keadaan sakit."  
Kemudian Malaikat Maut itu memberi salam lagi:   "Assalamualaikum, bolehkah saya masuk?"   Akhirnya Rasulullah saw mendengar suara Malaikat Maut itu, lalu baginda bertanya kepada puterinya Fatimah:   "Siapakah yang ada di muka pintu itu?"   Fatimah menjawab:   "Seorang lelaki memanggil baginda. Saya katakan kepadanya bahawa baginda dalam keadaan sakit. Kemudian dia memanggil sekali lagi dengan suara yang menggetarkan sukma."   Rasulullah saw bersabda:   "Tahukah kamu siapakah dia?"   Fatimah menjawab:   "Tidak wahai baginda."   Lalu Rasulullah saw menjelaskan:   "Wahai Fatimah, dia adalah pengusir kelazatan, pemutus keinginan, pemisah jemaah dan yang meramaikan kubur.   Kemudian Rasulullah saw bersabda:   "Masuklah, wahai Malaikat Maut."   Maka masuklah Malaikat Maut itu sambil mengucapkan:   "Assalamualaika ya Rasulullah."   Rasulullah saw pun menjawab:   "Waalaikassalam ya Malaikat Maut. Engkau datang untuk berziarah atau untuk mencabut nyawaku?"   Malaikat Maut menjawab:   "Saya datang untuk ziarah sekaligus mencabut nyawa. Jika tuan izinkan akan saya lakukan. Jika tidak, saya akan pulang."   Rasulullah saw bertanya:   "Wahai Malaikat Maut, di mana engkau tinggalkan kecintaanku Jibril?"   Jawab Malaikat Maut:   "Saya tinggal dia di langit dunia."   Baru sahaja Malaikat Maut selesai bicara, tiba-tiba Jibril a.s. datang lalu duduk di samping Rasulullah saw. Maka bersabdalah Rasulullah saw:   "Wahai Jibril, tidakkah engkau mengetahui bahawa ajalku telah dekat?"   Jibril menjawab:   "Ya, wahai kekasih Allah."  

KETIKA SAKARATUL MAUT:   

Seterusnya Rasulullah saw bersabda:   "Beritahu kepadaku wahai Jibril, apakah yang telah disediakan Allah untukku di sisinya?"   Jibril pun menjawab:   "Bahawasanya pintu-pintu langit telah dibuka, sedangkan malaikat-malaikat telah berbaris untuk menyambut rohmu."   Baginda saw bersabda:   "Segala puji dan syukur bagi Tuhanku. Wahai Jibril, apa lagi yang telah disediakan Allah untukku?"   Jibril menjawab lagi:   "Bahawasanya pintu-pintu Syurga telah dibuka, dan bidadari-bidadari telah berhias, sungai-sungai telah mengalir, dan buah-buahnya telah ranum, semuanya menanti kedatangan rohmu."   Baginda saw bersabda lagi:   "Segala puji dan syukur untuk Tuhanku. Beritahu lagi wahai Jibril, apa lagi yang disediakan Allah untukku?"   Jibril menjawab:   "Aku memberikan berita gembira untuk tuan. Tuanlah yang pertama-tama diizinkan sebagai pemberi syafaat pada hari kiamat nanti."   Kemudian Rasulullah saw bersabda:   "Segala puji dan syukur aku panjatkan untuk Tuhanku. Wahai Jibril beritahu kepadaku lagi tentang khabar yang menggembirakan aku."   Jibril a.s. bertanya:   "Wahai kekasih Allah, apa sebenarnya yang ingin tuan tanyakan?"   Rasulullah saw menjawab:   "Tentang kegelisahanku. Apakah yang akan diperolehi oleh orang-orang yang membaca Al-Quran sesudahku? Apakah yang akan diperolehi orang-orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan sesudahku? Apakah yang akan diperolehi orang-orang yang berziarah ke Baitul Haram sesudahku?"   Jibril menjawab:   "Saya membawa khabar gembira untuk baginda. Sesungguhnya Allah telah berfirman:   Aku telah mengharamkan Syurga bagi semua Nabi dan umat, sampai engkau dan umatmu memasukinya terlebih dahulu."   Maka berkatalah Rasulullah saw:   "Sekarang, tenanglah hati dan perasaanku. Wahai Malaikat Maut dekatlah kepadaku."   Lalu Malaikat Maut pun mendekati Rasulullah saw.   Ali r.a. bertanya:   "Wahai Rasulullah saw, siapakah yang akan memandikan baginda dan siapakah yang akan mengafaninya?"   Rasulullah menjawab:   "Adapun yang memandikan aku adalah engkau wahai Ali, sedangkan Ibnu Abbas menyiramkan airnya dan Jibril akan membawa hanuth (minyak wangi) dari dalam Syurga."   Kemudian Malaikat Maut pun mulai mencabut nyawa Rasulullah saw. Ketika roh baginda sampai di pusat perut, baginda berkata:   "Wahai Jibril, alangkah pedihnya maut."   Mendengar ucapan Rasulullah itu, Jibril a.s. memalingkan mukanya. Lalu Rasulullah saw bertanya:   "Wahai Jibril, apakah engkau tidak suka memandang mukaku?"   Jibril menjawab:   "Wahai kekasih Allah, siapakah yang sanggup melihat muka baginda, sedangkan baginda sedang merasakan sakitnya maut?"   Akhirnya roh yang mulia itupun meninggalkan jasad Rasulullah saw.  

KESEDIHAN SAHABAT

Berkata Anas r.a.:   "Ketika aku lalu di depan pintu rumah Aisyah r.a., aku terdengar dia sedang menangis sambil mengatakan:   Wahai orang-orang yang tidak pernah memakai sutera, wahai orang-orang yang keluar dari dunia dengan perut yang tidak pernah kenyang dari gandum, wahai orang-orang yang telah memilih tikar daripada singgahsana, wahai orang-orang yang jarang tidur diwaktu malam kerana takut Neraka Sa'ir."   Dikisahkan dari Said bin Ziyad dari Khalid bin Saad, bahawasanya Muaz bin Jabal r.a. telah berkata:   "Rasulullah saw telah mengutusku ke Negeri Yaman untuk memberikan pelajaran agama di sana. Maka tinggallah aku di sana selama 12 tahun. Pada satu malam aku bermimpi dikunjungi oleh seseorang. Kemudian orang itu berkata kepadaku:   Apakah anda masih lena tidur juga wahai Muaz, padahal Rasulullah saw telah berada di dalam tanah?"
Muaz terbangun dari tidur dengan rasa takut, lalu dia mengucapkan:   "A'uzubillahi minasy syaitannir rajim."   Lalu setelah itu dia mengerjakan solat.   Pada malam seterusnya, dia bermimpi seperti mimpi malam yang pertama.
Muaz berkata:   "Kalau seperti ini, bukanlah dari syaitan."   Kemudian dia memekik sekuat-kuatnya, sehingga didengar sebahagian penduduk Yaman.   Pada keesokan harinya, orang ramai berkumpul lalu Muaz berkata kepada mereka:   "Malam tadi dan malam sebelumnya saya bermimpi yang sukar untuk difahami. Dahulu, bila Rasulullah saw bermimpi yang sukar difahami, baginda membuka Mushaf (al-Quran). Maka berikanlah Mushaf kepadaku."   Setelah Muaz menerima Mushaf, lalu dibukanya. Maka nampaklah firman Allah yang bermaksud:   "Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati pula."   (Surah Az-Zumar: ayat 30)   Maka menjeritlah Muaz, sehingga dia tidak sedarkan diri. Setelah dia sedar kembali, dia membuka Mushaf lagi dan dia nampak firman Allah yang berbunyi:   "Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu akan berbalik ke belakang (murtad)? Barang siapa yang berbalik ke belakang, maka dia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada orang-orang yang bersyukur?"   (Surah Al-lmran: ayat 144)   Maka Muaz pun menjerit lagi:   "Aduhai Abal-Qassim. Aduhai Muhammad."  
Kemudian dia keluar meninggalkan Negeri Yaman menuju ke Madinah. Ketika dia akan meninggalkan penduduk Yaman, dia berkata:   "Seandainya apa yang ku lihat ini benar, maka akan meranalah para janda, anak-anak yatim dan orang-orang miskin, dan kita akan menjadi seperti biri-biri yang tidak ada pengembala."   Kemudian dia berkata:   "Aduhai, sedihnya berpisah dengan Nabi Muhammad saw."   Lalu dia pun pergi meninggalkan mereka. Di saat dia berada pada jarak lebih kurang tiga hari perjalanan dari Kota Madinah, tiba-tiba terdengar olehnya suara halus dari tengah-tengah lembah yang mengucapkan firman Allah yang bermaksud:   "Setiap yang bernyawa pasti akan merasakan mati."  
Lalu Muaz mendekati sumber suara itu. Setelah berjumpa, Muaz bertanya kepada orang tersebut:   "Bagaimana khabar Rasulullah saw?"   Orang tersebut menjawab:   "Wahai Muaz, sesungguhnya Muhammad saw telah meninggal dunia."   Mendengar ucapan itu, Muaz terjatuh dan tak sedarkan diri. Lalu orang itu menyedarkannya. Dia memanggil Muaz:   "Wahai Muaz, sedarlah dan bangunlah."   Setelah Muaz sedar kembali, orang tersebut lalu menyerahkan sepucuk surat untuknya yang berasal dari Abu Bakar As-siddiq, dengan cop dari Rasulullah saw. Tatkala Muaz melihatnya, dia lalu mencium cop tersebut dan diletakkan di matanya. Kemudian dia menangis dengan tersedu-sedu.   Setelah puas dia menangis, dia pun melanjutkan perjalanannya menuju Kota Madinah. Muaz sampai di Kota Madinah pada waktu fajar menyingsing. Didengarnya Bilal sedang mengumandangkan azan Subuh. Bilal mengucapkan:   "Asyhadu Allaa Ilaaha Illallah?"  Muaz menyambungnya:   "Wa Asyhadu Anna Muhammadur Rasulullah."   Kemudian dia menangis dan akhirnya dia jatuh dan tak sedarkan diri lagi.   Pada saat itu, di samping Bilal bin Rabah ada Salman Al-Farisy r.a. lalu dia berkata kepada Bilal:   "Wahai Bilal, sebutkanlah nama Muhammad dengan suara yang kuat dekatnya. Dia adalah Muaz yang sedang pengsan."   Setelah Bilal selesai azan, dia mendekati Muaz, lalu dia berkata:   "Assalamualaika, angkatlah kepalamu wahai Muaz, aku telah mendengar dari Rasulullah saw, baginda bersabda: Sampaikanlah salamku kepada Muaz."   Maka Muaz pun mengangkatkan kepalanya sambil menjerit dengan suara keras, sehingga orang-orang menyangka bahawa dia telah menghembuskan nafas yang terakhir. Kemudian dia berkata:   "Demi ayah dan ibuku, siapakah yang mengingatkan aku pada baginda, ketika baginda akan meninggalkan dunia yang fana ini, wahai Bilal? Marilah kita pergi ke rumah isteri baginda Siti Aisyah r.a."   Setelah sampai di depan pintu rumah Siti Aisyah, Muaz mengucapkan:   "Assalamualaikum ya ahlil bait, wa rahmatullahi wa barakatuh."   Yang keluar ketika itu adalah Raihanah, dia berkata:   "Aisyah sedang pergi ke rumah Siti Fatimah."   Kemudian Muaz menuju ke rumah Siti Fatimah dan mengucapkan:   "Assalamualaikum ya ahlil bait."  
Siti Fatimah menyambut salam tersebut, kemudian dia berkata:   "Rasulullah saw bersabda: Orang yang paling alim di antara kamu tentang perkara halal dan haram adalah Muaz bin Jabal. Dia adalah kekasih Rasulullah saw."   Kemudian Fatimah berkata lagi:   "Masuklah wahai Muaz."   Ketika Muaz melihat Siti Fatimah dan Aisyah r.a., dia terus pengsan dan tak sedarkan diri. Setelah dia sedar, Fatimah lalu berkata kepadanya:   "Saya mendengar Rasulullah saw bersabda: Sampaikanlah salam saya kepada Muaz dan khabarkan kepadanya bahawasanya dia kelak dihari kiamat sebagai imam ulama."   Kemudian Muaz bin Jabal keluar dari rumah Siti Fatimah menuju ke arah kubur Rasulullah saw.   (Dipetik dari buku 1001 Duka - Himpunan Kisah-kisah Menyayat Hati)
 

Memburu Cinta

Untuk bahagia cintailah siapa yang mencintai kita, bukan siapa yang kita cintai. Hal ini kerana, mencintai orang yang mencintai kita, pasti cinta itu berbalas. Sebaliknya, kita akan menderita sekiranya cinta tidak berbalas kerana mencintai insan yang tidak menyintai diri kita. oleh itu, siapa lagi yang paling mencintai kita kalau bukan Allah? Tuhan yang mencipta kita anpa kita minta, Tuahan yang menjaga kita setiap detik dan ketika? Mencintai Allah merupakan satu kebahagiaan dan ketenangan.

Namun memang sukar mencintai Allah. Sesuatu yang berharga tentulah payah untuk mendapatkannya. Umpama kaca dan permata. Kaca mudah didapati di mana-mana namun permata sukar dicari dan terlalu mahal harganya. Sukarnya mencari cinta Allah walaupun kita tahu bahawa dialah yang sewajarnya kita cintai. Budi-Nya, kasih- sayang-Nya, nikmat-Nya terlalu banyak untuk kita mungkiri. Segala kebaikan Allah yang dilimpahkan ke atas kita melebihi kebaikan manusia. Sekalipun manusia itulah yang paling baik dengan kita.

Hatta kasih ibu yang sejati itupun hanya sekelumit jika hendak dibandingkan dengan kasih Allah yang melangit. Kita bertanya terhadap sendiri, "Kenapa aku sukar untuk mencintai-Nya?" Walaupun fikiran kita mengiyakannya, iaitu lojik dan patut kita mencintai Allah. Tetapi hati kita masih berat dan sukar untuk merasainya.

Rupa-rupanya dalam kehidupan ini ramai manusia yang sakit hati. Bila kita tidak dapat merasai cinta Allah, sebaliknya lebih cinta selain daripada Allah, maka itulah tandanya hati kita sedang menderita kesakitan. Bila ketaatan tidak terasa manis dan kejahatan tidak terasa pahit, itu petanda hati kita sakit. Sakit hati adalah lebih buruk daripada sakit fizikal.
Jika sakit fizikal akan menyebabkan kita menderita di dunia, sakit hati akibat gagal mencintai Allah akan menyebabkan kita menderita di dunia dan akhirat. Jika sakit fizikal berakhir dengan kematian, tetapi akibat sakit hati lebih parah. Kita akan mendrita di akhirat kelak.

Mengapa hati kita sakit? Sehingga dengan itu hati tidak bergetar lagi dengan cinta Allah. Sedangkan, cinta allah itu adalah fitrah dan penawar kepada hati manusia. Sebenarnya, sejak di alam roh lagi kita sudah mengenali bahawa Allah dan mengakui Dialah tuhan kita. 
Firman Allah :
         "Bukankah Aku ini tuhanmu? Maka semua (roh manusia) menjawab,
         "Benar (engkaulah tuhan kami), kami menjadi saksi." (Al-A'raf :172)

Di alam roh lagi kita telah mengenal Allah. Bahkan kita juga telah mengakui bahawa Dialah tuhan kita. Mengenal Allah ertinya mencintai Allah. Malangnya, ramai manusia dipisahkan daripada cinta itu sebaik sahaja dilahirkan ke dunia. Kita mula dipisahkan daripada cinta Allah seperti seorang anak yang dipisahkan daripada ibu sejatinya. Sejak itu tempat cinta sejati di hati kita diambil alih oleh cinta angkat.

Maka cinta kita pun beralih-arah. Ia juaga ditegaskan oleh sabda Rasulullah S.A.W. :
         "Tiada seorang bayi pun yang lahir melaikan dia dilahirkan di atas fitrah. 
         Lalu kedua orang tuanyalah yang menjadikannya Yahudi, Majusi ataupun
         Nasrani, seperti haiwan itu melahirakan haiwan yang sama secara utuh.
         Adakah kamu menemukan adanya kecacatan?" (Riwayat Bukhari)

Bermula dari situ perpisahan dengan cinta Allah pun bermula. Makin bertambah usia semakin jauh jarak perpisahan itu. Hal ini bergantung kepada corak pendidikan yang diterima dan juga media massa yang didengari dan dilihat.

Oleh itu, marilah kita meningkatkan amalan kita demi memburu cinta Allah. Cinta Teragung!!!


Syirik Khafi Membatalkan Iman dan Merosakkan Iman?


Kita memang sudah mengelak daripada menyembah tokong dan berhala, tetapi bagaimana pula dengan penyembahan manusia kepada 'berhala-berhala' hati? Itulah bahayanya syirik khafi yang tersembunyi di dalam hati.

Kita begitu yakin dan mengakui masih kebal iman dalam diri dan sama sekali tidak syirik terhadap Allah SWT apabila tidak pernah menyembah berhala dan apa jua dewa. Sebabnya perbuatan tersebut sudah diketahui umum boleh menyebabkan seorang Muslim menjadi murtad dan keluar dari Islam. Mudahnya, kebanyakan masyarakat Islam meletakkan perkara itu sebagai sempadan dari terjadinya hal yang merosakkan keimanan. Dan ada juga yang faham, hanya perbuatan sedemikian sahaja boleh sebabkan syirik.

Itu syirik jali yang setiap umat Islam cuba elak daripada melakukannya. Tetapi dalam berjaga-jaga itu, syirik khafi atau syirik tersembunyi sebenarnya dilakukan setiap hari oleh kebanyakan orang Islam. Kita memang sudah mengelak daripada menyembah tokong dan berhala, tetapi bagaimana pula dengan penyembahan manusia kepada 'berhala-berhala' hati? Itulah bahayanya syirik khafi yang tersembunyi di dalam hati. Ini terjadi dan dilakukan samaada kita sedari atau dilakukan didalam keadaan tidak sedar.

Menurut penerangan para Arifin Billah (pakar agama), antara sembahan-sembahan hati yang paling lumrah bagi manusia ialah:

i) penyembahan kepada nafsu/diri sendiri
ii) penyembahan kepada dunia dan perhiasannya
iii) penyembahan kepada pangkat dan kekayaan
iv) penyembahan kepada kedudukan dan jawatan
v) penyembahan kepada wanita
vi) tawakal kepada kekuatan diri atau kekuatan makhluk
vii) tawakal kepada kehebatan sains dan teknologi dan lain-lain

Segelintir umat Islam menganggap syirik khafi sebagai perkara kecil sahaja. Namun pandangan sebeginilah yang mengundang bahaya yang lebih besar. Menurut tafsiran ulama-ulama tasawuf, syirik khafi walaupun tidak membatalkan iman namun memberi kesan kepada amal dan boleh merosakkan keimanan jika dibiarkan berlaku dan menjadi pakaian umat sehari-hari.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Syirik yang dilakukan umat ku lebih tersembunyi daripada semut halus yang merayap di atas batu yang besar." (Riwayat Al Hakim)

Penyembahan kepada berhala-berhala hati ini juga menyebabkan manusia menjadi bongkak dan riak tanpa disedari. Terlalu yakin terhadap kelebihan diri sendiri. Perbuatan sebegini sebenarnya mengundang resah kepada Rasulullah sebagaimana sabdanya:
"Sesungguhnya yang paling aku khuatirkan atas kamu sekalian adalah syirik kecil (syirik khafi), riya'. Pada hari kiamat, ketika memberi balasan manusia atas perbuatannya, Allah berfirman, "Pergilah kalian kepada orang-orang yang kalian tujukan amalanmu kepada mereka di dunia. Lihatlah, apakah engkau dapati balasan di sisi mereka?" (Riwayat Imam Ahmad)

Benar dalam kehidupan, kita selalu memandang hal yang besar tanpa mempedulikan perkara-perkara kecil. Namun perlu diketahui yang kecil dan halus itulah lebih mudah menyerang dan merebak sehingga akhirnya kita terperangkap tanpa sedar. Sungguhpun syirik khafi tidak membatalkan iman seseorang, tetapi jika dibiarkan ia boleh mencederakan tauhid dan pengesaan terhadap Allah.

Jangan terlampau yakin bila kita tidak pernah menyembahkan tuhan lain selain Allah, kita bebas dari melakukan syirik. Ketahuilah bahawa perjuangan melawan sifat-sifat jahat dalam hati terutamanya syirik khafi adalah jihad sepanjang hidup. Jangan terhenti dari jihad ini kerana sejarah telah membuktikan manusia-manusia alim juga boleh tewas dengan rayuan iblis dan syaitan. Sehingga hati dan iman menjadi binasa.

Oleh itu berhati-hatilah dengan perbuatan, pengungkapan serta kata hati kita setiap hari. Apa jua yang terjadi dan berlaku semuanya atas kehendak dan kuasa Allah SWT jua. Bukan atas kehebatan dan keupayaan diri sendiri, benda mahupun makhluk lain yang sebenarnya tidak punya kuasa apa-apa!

Bentuk-Bentuk Syirik Khafi

Terlalu banyak syirik khafi berlaku meliputi diri kita sendiri atau yang bersangkut dengan makhluk lain. Kebanyakannya berlaku dalam keadaan kita lalai daripada mengingat Allah.

1) Bergantung Hati Kepada Sesuatu Selain Allah

Syirik khafi jenis ini sangat lumrah dalam urusan kehidupan seharian. Apabila seseorang melihat dirinya melakukan ibadah yang banyak,atau melihat dirinya mempunyai kebijaksanaan dan kehebatan sehingga berjaya memperoleh suatu kebaikan.
Atau menyandarkan sesuatu kebaikan yang diperoleh disebabkan manusia lain atau benda lain yang di jadikan oleh Allah seperti ubat-ubatan atau ketinggian sains dan teknologi dan sebagainya.

Contoh 1 :
Seorang lelaki yang telah sembuh dari sakit, merasakan ubat yang dimakan itulah yang menyembuhkan penyakitnya.

Contoh 2 :
Seorang Pengarah Syarikat yang berjaya membawa kejayaan kepada syarikat merasakan kejayaan tersebut dicapai hasil usahanya dan dibantu oleh pekerja-pekerja lain.

2) Ujub

Menurut pengertian yang diberi oleh Imam Al-Ghazali ;
"Ujub adalah rasa hairan dengan diri atau membanggakan diri atau merasai aman dengan adanya suatu kelebihan nikmat pada diri seseorang. Terjadi 'ujub adalah didalam hati, tanpa terzahir sifat rasa bangga dirinya pada tingkah laku atau perkataan."

Contoh 1 :
Seorang melakukan solat larut malam lalu berkata di dalam hati, " Hairan aku dapat melakukan ibadat yang begitu banyak."

Contoh 2 :
Seseorang wanita yang cantik berasa betapa hebatnya diri dengan kecantikan tersebut.

3) Riya'

Riya' dalam beramal adalah melakukan sesuatu amal atau kebajikan dengan niat mendapat pujian makhluk atau bertujuan mendapat pangkat dan kedudukan.
Tiga keadaan berlaku Riya' pada hati seseorang yang melakukan beribadat/melakukan kebajikan.

Niat hati seseorang perlu di awasi pada 3 keadaan ketika beramal.;
1)   Pada permulaan melakukan ibadat.
2)   Ketika sedang melakukan ibadat.
3)   Setelah selesai melakukan ibadat.

Kebanyakan orang beramal biasanya ikhlas pada permulaan ibadatnya.  Tetapi gangguan riya' datang ketika sedang beramal atau sesudah beramal. Dengan demikian seseorang wajib berhati-hati dengan bisikan syaitan yang sentiasa cuba mewaswaskan hati supaya berubah niat.

4) Takabbur (Membesarkan Diri)

Takabur adalah membesarkan diri, merasai diri lebih hebat, lebih mulia, lebih tinggi dari orang lain.  Sifat ini lahir dari hati dan ada kalanya terzahir dalam perkataan dan perbuatannya. Takabur adalah mencabar kekuasaan Allah : Sabda Rasulullah SAW, Firman Allah dalam Hadis Qudsi,
"Takabur itu selendangku dan Kebesaran itu kain sarung Ku. Maka barang siapa bertengkar dengan Aku pada salah satu dari yang dua itu, nescaya Aku campakkan dia dalam neraka jahannam. Dan Aku tidak pedulikan." (Riwayat Muslim)

Punca wujudnya takabur pada diri seseorang adalah disebabkan wujudnya suatu kelebihan atau dia merasa kesempurnaan berbanding manusia lain.
1. Takabur dengan Ilmu.
2. Takabur dengan Amal
3. Takabur dengan tubuh badan – kecantikan,  kekuatan dan lain-lain
4. Takabur dengan harta,  anak dan kekayaan dunia.
5. Takabur dengan banyak pengikut
6. Takabur dengan kemuliaan keturunan.
7. Takabur dengan kekuasaan