Buscar

Permulaan Baharu buat Tahun 2015


بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, Allah masih panjangkan umurku untuk meneruskan kehidupan ini. Aku akui terlalu banyak perkara yang berlaku dalam hidup ini sepanjang tahun 2014. Adakalanya suka, adakalnya duka. Namun apa pun yang berlaku aku tetap harus meneruskan perjalanan hidup.

Hidup terlalu banyak dengan liku-liku. Setiap orang mempunyai pengalaman yang tersendiri dalam menjalani hidup ini. Dan setiap orang mempunyai cara sendiri untuk menyelesaikan sesuatu. Bagi aku selain daripada mengadu pada yang maha Esa, cara yang paling terbaik adalah dengan membuatkan diriku berasa gembira. Mungkin orang-orang di sekeliling ku merasakan diriku ini sebagai 'annoying' di mata mereka namun, apa yang cuba aku lakukan adalah untuk mengubat luka dihati.

Aku akui, aku bukanlah seorang yang amat baik di mata orang. Bagi aku, aku ni jenis yang 'gila-gila'. Aku tak peduli dengan persepsi orang terhadap aku. Aku tak perlu hipokrit untuk cuba menjadi orang lain. Apa yang aku gambarkan kepada setiap insan yang mengenali diriku adalah diriku yang sebenar. Mungkin ada yang pernah aku sakiti, tetapi lama kelamaan mereka akan memahami perangai ku yang sebenar.

Bagi rakan-rakan yang mungkin membaca blog ini, jika ada sesuatu yang ingin diluahkan boleh berjumpa aku secara bersemuka. Mungkin aku boleh mengubah gaya aku. Aku bukanlah seorang yang tidak boleh menerima teguran tetapi aku paling tidak suka jika aku mendengar kritikan tentang aku dari mulut ke mulut. Bagi aku, perangai sebegitu amat hipokrit. Aku kira mungkin ada yang sependapat dengan aku.

Walau apa pun, aku harap perjalanan hidupku pada tahun ini dapat mematangkan aku. Doakan kejayaan aku dan rakan-rakan untuk Peperiksaan STPM 2015. InsyaAllah jika berkesempatan lagi aku akan tambah entry dalam blog ini. Maklumlah agak sibuk. XD

Akhlak Anak Muda



 
بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum.

Perkara yang saya ingin kongsikan pada hari ini, benar-benar berlaku di hadapan saya. Pada ketika itu, saya dan rakan-rakan sedang menikmati juadah makanan tengah hari di sebuah restoran. Kami dikejutkan dengan kedatangan sekumpulan pelajar sekolah rendah yang turut ingin menikmati juadah tengah hari.

Pada mulanya kami berasa amat terkejut kerana kedatangan mereka yang ramai menjadikan restoran tersebut dalam keadaan haru-biru sehingga meganggu pelanggan  yang lain. Keadaan di restoran tersebut boleh dikatakan seperti berada di kantin sekolah rendah. Saya rasa ada dikalangan pembaca merasakan ini adalah perkara biasa tetapi tidak pada saya. Hal ini kerana, sewaktu berada di usia mereka saya tidak pernah makan di kedai tanpa jagaan ibu bapa. Apa yang saya tahu hanya pergi dan balik dari sekolah sahaja.

Lebih mengejutkan lagi apabila salah seorang daripada mereka memanggil pelayan dengan panggilan agak kasar dan sambil menjerit. Contohnya, "Ane! Cepatlah ambil order kitaorang lapar ni". Tidak cukup dengan itu, dia turut melakukan sesuatu seperti memperlekeh pelayan tersebut. Saya sebagai seorang yang lebih tua dari mereka turut terkesan dengan perbuatan tersebut walaupun hanya memerhati dari jauh.

Apa yang ingin dipersoalkan di sini adalah, di mana letaknya akhlak anak-anak muda pada masa ini. Anak muda yang masih bersekolah sudah mula berperangai sebegitu. Saya berasa amat sedih kerana mereka yang  masih muda dan baru mengenal erti dunia bersikap kurang ajar dengan orang yang lebih tua. Jika pada masa muda mereka sudah bersikap demikian, apatah lagi ketika sudah dewasa nanti.

Akhir kata,
Akhlak itu cerminan pada sikap seseorang individu

Luahan Hati yang Sentiasa Alpa

Assalamualaikum pembaca sekalian. Sudah lama kiranya saya tidak menulis di sini. Alhamdulillah, hari ini saya berkesempatan untuk update entri terbaru dalam laman ini. InsyaAllah saya ingin berkongsi cerita kepada kalian. Semoga mendapat memberi manfaat.

Tanggal 7 Mei 2014 saya tekad untuk meneruskan pencarian ilmu dengan  mengambil STPM jurusan agama. Sebenarnya sedari kecil saya ingin mendalami ilmu agama. Menyedari akan hakikat dunia akhir zaman pada hari ini dengan timbulnya pelbagai fitnah yang dihadapi oleh penuntut-penuntut agama. 

Baru-baru ini timbul perbahasan dikalangan individu-individu yang mendakwa mereka ini pakar dalam bidang agama. Untuk makluman perbahasan ini berlaku di laman twitter. Mereka ini mendakwa yang individu yang bergelar ustaz ataupun penceramah bebas dengan dakwaan yang tidak berasas dan tanpa bukti yang kukuh.

Saya rasa tidak perlulah dinyatakan dakwaan mereka itu. Bagi pandangan saya, sebelum kita menuduh seseorang itu biarlah kita faham tentang isu yang kita mainkan. Misalnya soal akidah. Adalah amat berat kita menuduh seseorang itu terkeluar dari Islam tanpa mengetahui hakikat yang sebenar sedangkan anda hanya mengenalinya menerusi media sosial. Dan yang dibahaskan adalah tentang ayat mutashabihat. Rasanya tidak perlu kita yang lokek ilmu pengetahuan berbahas tentang ayat ini. Sedangkan ulama' sebelum ini sudah maklum mengenainya. Apabila berbeza pendapat dengan guru anda tidak semestinya orang itu terpesong akidahnya. Hakikatnya janganlah terlalu taksub dengan guru anda semata-mata. Jangan hanya berguru dengan seorang guru, sebaliknya berguru dengan ramai guru.

Akhir kata,
"Kehidupan itu ada hikmahnya.

Hikmahnya, Allah s.w.t mahu kita
masuk ke syurga-Nya.

Tinggal kita nampak ataupun tidak hikmah itu, 
Hingga kita berusaha ataupun tidak untuk 
hidup mencapai syurga itu."




Penghayatan Aqidah

Maksud Aqidah :

  • Keimanan yang teguh dalam jiwa hingga tidak mungkin terurai. Ia juga bermaksud percaya secara bersungguh-sungguh dan berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah dan melaksanakannya dalam kehidupan. Wahyu pertama diturunkan (Surah al-Alaq) menjelaskan tentang aqidah yang sempurna.



Pembukaan Bagi Tahun 2013

Assalamualaikum pembaca sekalian, setelah sekian lama saya mendiamkan diri. Akhirnya, dapat juga saya berkongsi ilmu saya yang serba kekurangan ini. Maafkan saya sekiranya anda menunggu post saya yang terbaru. InsyaAllah pada tahun ini, blog saya akan kembali aktif dengan post-post yang bermanfaat.

Arah Pandangan Mata Ketika Solat

Ada dalil yang menggalakkan ketika solat, kita disunatkan menundukkan wajah melihat ke tempat sujud semasa berdiri. Hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan al-Hakim : "Adalah Rasulullah s.a.w. menundukkan kepala Baginda dan melontarkan pandangan ke bumi (tempat sujud)."

Dalam hadis lain : "Dan tatkala Nabi s.a.w. memasuki Kaabah, Nabi tidak mengangkat pandangan matanya dari tempat sujud sehinggalah Baginda keluar darinya." (Riwayat Abu Daud dan Ahmad).

Imam Sufyan al-Thawri, Abu Hanifah dan al-Syafi'i berpendapat bahawa lebih elok menumpukan pandangan mata ke arah tempat sujud. Manakala ijtihad Imam Malik dan Ibn al-Arabi al-Maliki menagatakan lebih elok memandang ke arah hadapan dan bukannya tempat sujud.

Namun, walaupun dalil-dalil yang dikemukakan ini sahih dari sudut kefahaman iaitu keperluan melihat tempat sujud. Maksu 'menundukkan kepala' dalam hadis ini tidak semestinya memandang tempat sujud dan hadis kedua pula tidakdijelaskan secara terang ia dilakukan ketika solat. Ia hanya menyebut ketika Nabi memasuki Kaabah dan bukannya ketika solat.

Setela diteliti hadis-hadis yang terdapat dalam bab ini, maka dapat difahami bahawa matlamat asas daripada tindakan melihat tempat sujud ini adalah untuk :
  • mendatangkan khusyuk
  • menghilangkan ganguan luar dan menfokuskan perhatian terhadap solat
  • menimbulkan rasa rendah diri ketika solat
  • membezakan keadaan antara orang yang sedang dalam solat dan di luar solat
  • menghilangkan rasa sombong
Hadis berikut menyokong kepada kesimpulan :
"Tidak sepatutnya terdapat dalam rumah orang yang menunaikan solat sesuatu yang boleh menggangu dan menyibukkan (permikiran dan kekhusyukannya  ketika solat)." (Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Selain itu, sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : "Apabila kamu solat, janganlah kamu menoleh (ke sana sini iaitu tidak memfokuskan pandangan) kerana Allah s.w.t. mengarahkan wajah-Nya ke wajah hamba-Nya yang sedang solat selagi mana hamba-Nya tidak menoleh ke arah lain." (Riwayat al-Bukhari dan Abu Daud)

Kesimpulanya, digalakkan untuk semua menunundukkan pandangan mata, sama ada ke tempat sujud atau lainnya semasa solat, namun tidaklah sampai tahap wajib.

Disebalik Wujudnya Kewajipan Solat


Hadis Anas bin Malik r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Aku telah didatangi Buraq. Iaitu seekor binatang yang berwarna putih, lebih besar dari keldai tetapi lebih kecil dari baghal. Ia merendahkan tubuhnya sehinggalah perut buraq tersebut mencecah bumi.

Baginda bersabda lagi: Tanpa membuang masa, aku terus menungganginya sehinggalah sampai ke Baitulmuqaddis. Baginda bersabda lagi: Aku mengikatnya pada tiang masjid sebagaimana yang biasa dilakukan oleh para Nabi.

Baginda bersabda lagi: Sejurus kemudian aku masuk ke dalam masjid dan mendirikan sembahyang sebanyak dua rakaat. Setelah selesai aku terus keluar, secara tiba-tiba aku didatangi dengan semangkuk arak dan semangkuk susu oleh Jibril a.s. Aku memilih susu. Lalu Jibril a.s berkata: Engkau telah memilih fitrah.

Lalu Jibril a.s membawaku naik ke langit. Ketika Jibril a.s meminta agar dibukakan pintu, kedengaran suara bertanya: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Lalu dibukakan pintu kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Adam a.s, beliau menyambutku serta mendoakan aku dengan kebaikan.

Seterusnya aku dibawa naik ke langit kedua. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Isa bin Mariam dan Yahya bin Zakaria, mereka berdua menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.

Aku dibawa lagi naik langit ketiga. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Yusuf a.s ternyata dia telah dikurniakan sebahagian dari keindahan. Dia terus menyambut aku dan mendoakan aku dengan kebaikan.

Aku dibawa lagi naik ke langit keempat. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Idris a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Firman Allah s.w.t Yang bermaksud: Dan kami telah mengangkat ke tempat yang tinggi darjatnya.

Aku dibawa lagi naik ke langit kelima. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Harun a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.

Aku dibawa lagi naik ke langit keenam. Jibril a.s meminta supaya dibukakan pintu. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Musa a.s dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan.

Aku dibawa lagi naik ke langit ketujuh. Jibril a.s meminta supaya dibukakan. Kedengaran suara bertanya lagi: Siapakah engkau? Dijawabnya: Jibril. Jibril a.s ditanya lagi: Siapakah bersamamu? Jibril a.s menjawab: Muhammad. Jibril a.s ditanya lagi: Adakah dia telah diutuskan? Jibril a.s menjawab: Ya, dia telah diutuskan. Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Ibrahim a.s dia sedang berada dalam keadaan menyandar di Baitul Makmur. Keluasannya setiap hari memuatkan tujuh puluh ribu malaikat. Setelah keluar mereka tidak kembali lagi kepadanya. Kemudian aku dibawa ke Sidratul Muntaha. Daun-daunnya besar umpama telinga gajah manakala buahnya pula sebesar tempayan. Baginda bersabda: Ketika baginda merayau-rayau meninjau kejadian Allah s.w.t, baginda dapati kesemuanya aneh-aneh. Tidak seorang pun dari makhluk Allah yang mampu menggambarkan keindahannya.

Lalu Allah s.w.t memberikan wahyu kepada baginda dengan mewajibkan solat lima puluh waktu sehari semalam. Tatakala baginda turun dan bertemu Nabi Musa a.s, dia bertanya: Apakah yang telah difardukan oleh Tuhanmu kepada umatmu? Baginda bersabda: Solat lima puluh waktu. Nabi Musa a.s berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan kerana umatmu tidak akan mampu melaksanakannya. Aku pernah mencuba Bani Israel dan memberitahu mereka. Baginda bersabda: Baginda kemudiannya kembali kepada Tuhan dan berkata: Wahai Tuhanku, berilah keringanan kepada umatku. Lalu Allah s.w.t mengurangkan lima waktu solat dari baginda.

Baginda kembali kepada Nabi Musa a.s dan berkata: Allah telah mengurangkan lima waktu solat dariku. Nabi Musa a.s berkata: Umatmu masih tidak mampu melaksanakannya. Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan lagi. Baginda bersabda: Baginda tak henti-henti berulang-alik antara Tuhan dan Nabi Musa a.s, sehinggalah Allah s.w.t berfirman Yang bermaksud: Wahai Muhammad! Sesungguhnya aku fardukan hanyalah lima waktu sehari semalam. Setiap solat fardu diganjarkan dengan sepuluh ganjaran. Oleh yang demikian, bererti lima waktu solat fardu sama dengan lima puluh solat fardu.

Begitu juga sesiapa yang berniat, untuk melakukan kebaikan tetapi tidak melakukanya, nescaya akan dicatat baginya satu kebaikan. Jika dia melaksanakannya, maka dicatat sepuluh kebaikan baginya. Sebaliknya sesiapa yang berniat ingin melakukan kejahatan, tetapi tidak melakukannya, nescaya tidak sesuatu pun dicatat baginya. Seandainya dia melakukannya, maka dicatat sebagai satu kejahatan baginya. Baginda turun hingga sampai kepada Nabi Musa a.s, lalu aku memberitahu kepadanya. Dia masih lagi berkata: Kembalilah kepada Tuhanmu, mintalah keringanan. Baginda menyahut: Aku terlalu banyak berulang alik kepada Tuhan, sehingga menyebabkan aku malu kepada-Nya. (HR Muslim)