Buscar

Kahwin Muda?


بسم الله الرحمن الرحيم


Assalamualaikum, entah mengapa hari ini aku terdetik untuk menulis berkaitan kahwin. Padahal aku tiada pengalaman pun dalan hal rumah tangga. Aku percaya, ramai memberi tanggapan tentang isu kahwin muda ini. Ini bukan post yang menggatal ke apa atau #relationshipgoals apa tu. Tapi aku cuba nak kupas isu ini memandangkan aku ada tugasan berkaitan dengan kahwin muda ni.

Haiwan pun ada pasangan, apatah lagi manusia.
Aku cuba nak bawa korang kembali ke zaman nenek moyang kita yang dulu, yang rata-rata daripada mereka kahwin pada usia yang amat muda. Mereka ini pada pandangan aku sudah dilatih untuk menerima tanggungjawab dalam perkahwinan sebelum mereka berkahwin. Berbeza dengan zaman sekarang yang dilatih untuk untuk menerima tanggungjawab dalam perkahwinan selepas berkahwin.

Ada pendapat mengatakan mereka yang kahwin muda ini, masih tidak memahami maksud sebenar perkahwinan. Mereka mengatakan orang muda ini hanya menganggap kahwin ni merupakan satu resolusi untuk pengakhiran cerita cinta mereka tanpa berfikir yang hidup berumah tangga ini terlalu banyak dengan cabaran. Bagi aku, untuk memperbetulkan tanggapan anak muda ini, warga yang lebih berumur seharusnya membimbing anak-anak untuk mempersiapkan diri ke arah alam perkahwinan.

Selain itu ada juga yang mengatakan bahawa kahwin muda ini masih belum sesuai untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami ataupun isteri. Pendek cerita tak matang. Hal ini disebabkan atas faktor ekonomi orang yang kahwin muda ni rata-ratanya ekonomi mereka masih belum stabil dan komitmen yang bakal mereka hadapi selepas berkahwin. Pada pandangan aku yang naif ni, aku rasa soal matang ni takda apa sangat. Sebab setiap orang berbeza tahap kematangan. Jadi, inilah  masanya untuk orang yang kahwin muda membesar bersama untuk membentuk identiti masing-masing.

Akhir bicara, sebenarnya jika seseorang tu dia nak kahwin dia seharusnya bersedia dari pelbagai aspek. Dunia hari ini makin berliku. Kena fikir panjang. Apa pun apa yang aku tulis atas pandangan aku sendiri selepas menilai pro dan kontra.

p/s : ramai je kawan seusia aku dah kahwin siap ada anak lagi :) :)

Antara Komitmen dan Dunia Realiti Hidup Aku

بسم الله الرحمن الرحيم 

Assalamualaikum, sememangnya hidup ini perlukan komitmen. Aku bukannya tidak bersyukur atas kepercayaan yang aku dapat. Akan tetapi aku agak kurang gemar dengan sesetengah individu yang sikapnya menyukarkan proses kerja aku. Aku memahami, setiap orang bukannya sentiasa mempunyai masa yang terluang.Tambahan pula, esoknya merupakan hari cuti mestilah ramai yang sibuk memikirkan apa yang hendak dilakukan sepanjang mereka bercuti.

Pendekkan cerita.....

Hati aku menjadi amat marah apabila aku yang sebagai seorang lelaki menunggu respon seorang sahabat lelaki ini. Padahal dia merupakan orang pertama yang dipesan untuk menyerahkan apa yang  aku perlukan untuk melengkakpkan kerja aku tetapi dia menjadi orang terakhir menyerahkannya. Aku cuba menghubunginya, hampir semua alat perhubungan aku gunakan tetapi tetap juga tiada respon.

Akhirnya, aku meminta bantuan daripada seorang rakan sekelas yang juga merupakan orang yang berlainan jantina (perempuan). Dengan hanya beberapa minit, rakan aku ini mendapat respon daripada dia. Ya Allah, kau sahaja yang tahu betapa marahnya aku ketika itu. Mana taknya, aku yang sejantina dengan dia pun takda respon alih-alih dengan perempuan juga ada respon. Aduh, bergelegak darah muda ini.

Sebenarnya, aku cuba bersikap professional dalam hal ini, akan tetapi hal tersebut telah beberapa kali berlaku melibatkan orang yang sama. Itu yang membuatkan aku terfikir akan perangai rakan ini. Mungkin ada dalam kalangan pembaca yang pernah atau turut mengalami situasi yang sama boleh berkongsi pendapat. Rajin-rajinlah komen di bawah atau boleh berjumpa :) 

Hati ini, Allah S.W.T yang nilai.Jadi, kita jangan sibuk-sibuk mahu periksa hati orang.Kita bukanya tahu. Bahkan, boleh menjurus kepada fitnah.     -Hilal Asyraf

Permulaan Baharu buat Tahun 2015


بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah, Allah masih panjangkan umurku untuk meneruskan kehidupan ini. Aku akui terlalu banyak perkara yang berlaku dalam hidup ini sepanjang tahun 2014. Adakalanya suka, adakalnya duka. Namun apa pun yang berlaku aku tetap harus meneruskan perjalanan hidup.

Hidup terlalu banyak dengan liku-liku. Setiap orang mempunyai pengalaman yang tersendiri dalam menjalani hidup ini. Dan setiap orang mempunyai cara sendiri untuk menyelesaikan sesuatu. Bagi aku selain daripada mengadu pada yang maha Esa, cara yang paling terbaik adalah dengan membuatkan diriku berasa gembira. Mungkin orang-orang di sekeliling ku merasakan diriku ini sebagai 'annoying' di mata mereka namun, apa yang cuba aku lakukan adalah untuk mengubat luka dihati.

Aku akui, aku bukanlah seorang yang amat baik di mata orang. Bagi aku, aku ni jenis yang 'gila-gila'. Aku tak peduli dengan persepsi orang terhadap aku. Aku tak perlu hipokrit untuk cuba menjadi orang lain. Apa yang aku gambarkan kepada setiap insan yang mengenali diriku adalah diriku yang sebenar. Mungkin ada yang pernah aku sakiti, tetapi lama kelamaan mereka akan memahami perangai ku yang sebenar.

Bagi rakan-rakan yang mungkin membaca blog ini, jika ada sesuatu yang ingin diluahkan boleh berjumpa aku secara bersemuka. Mungkin aku boleh mengubah gaya aku. Aku bukanlah seorang yang tidak boleh menerima teguran tetapi aku paling tidak suka jika aku mendengar kritikan tentang aku dari mulut ke mulut. Bagi aku, perangai sebegitu amat hipokrit. Aku kira mungkin ada yang sependapat dengan aku.

Walau apa pun, aku harap perjalanan hidupku pada tahun ini dapat mematangkan aku. Doakan kejayaan aku dan rakan-rakan untuk Peperiksaan STPM 2015. InsyaAllah jika berkesempatan lagi aku akan tambah entry dalam blog ini. Maklumlah agak sibuk. XD

Akhlak Anak Muda



 
بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum.

Perkara yang saya ingin kongsikan pada hari ini, benar-benar berlaku di hadapan saya. Pada ketika itu, saya dan rakan-rakan sedang menikmati juadah makanan tengah hari di sebuah restoran. Kami dikejutkan dengan kedatangan sekumpulan pelajar sekolah rendah yang turut ingin menikmati juadah tengah hari.

Pada mulanya kami berasa amat terkejut kerana kedatangan mereka yang ramai menjadikan restoran tersebut dalam keadaan haru-biru sehingga meganggu pelanggan  yang lain. Keadaan di restoran tersebut boleh dikatakan seperti berada di kantin sekolah rendah. Saya rasa ada dikalangan pembaca merasakan ini adalah perkara biasa tetapi tidak pada saya. Hal ini kerana, sewaktu berada di usia mereka saya tidak pernah makan di kedai tanpa jagaan ibu bapa. Apa yang saya tahu hanya pergi dan balik dari sekolah sahaja.

Lebih mengejutkan lagi apabila salah seorang daripada mereka memanggil pelayan dengan panggilan agak kasar dan sambil menjerit. Contohnya, "Ane! Cepatlah ambil order kitaorang lapar ni". Tidak cukup dengan itu, dia turut melakukan sesuatu seperti memperlekeh pelayan tersebut. Saya sebagai seorang yang lebih tua dari mereka turut terkesan dengan perbuatan tersebut walaupun hanya memerhati dari jauh.

Apa yang ingin dipersoalkan di sini adalah, di mana letaknya akhlak anak-anak muda pada masa ini. Anak muda yang masih bersekolah sudah mula berperangai sebegitu. Saya berasa amat sedih kerana mereka yang  masih muda dan baru mengenal erti dunia bersikap kurang ajar dengan orang yang lebih tua. Jika pada masa muda mereka sudah bersikap demikian, apatah lagi ketika sudah dewasa nanti.

Akhir kata,
Akhlak itu cerminan pada sikap seseorang individu

Luahan Hati yang Sentiasa Alpa

Assalamualaikum pembaca sekalian. Sudah lama kiranya saya tidak menulis di sini. Alhamdulillah, hari ini saya berkesempatan untuk update entri terbaru dalam laman ini. InsyaAllah saya ingin berkongsi cerita kepada kalian. Semoga mendapat memberi manfaat.

Tanggal 7 Mei 2014 saya tekad untuk meneruskan pencarian ilmu dengan  mengambil STPM jurusan agama. Sebenarnya sedari kecil saya ingin mendalami ilmu agama. Menyedari akan hakikat dunia akhir zaman pada hari ini dengan timbulnya pelbagai fitnah yang dihadapi oleh penuntut-penuntut agama. 

Baru-baru ini timbul perbahasan dikalangan individu-individu yang mendakwa mereka ini pakar dalam bidang agama. Untuk makluman perbahasan ini berlaku di laman twitter. Mereka ini mendakwa yang individu yang bergelar ustaz ataupun penceramah bebas dengan dakwaan yang tidak berasas dan tanpa bukti yang kukuh.

Saya rasa tidak perlulah dinyatakan dakwaan mereka itu. Bagi pandangan saya, sebelum kita menuduh seseorang itu biarlah kita faham tentang isu yang kita mainkan. Misalnya soal akidah. Adalah amat berat kita menuduh seseorang itu terkeluar dari Islam tanpa mengetahui hakikat yang sebenar sedangkan anda hanya mengenalinya menerusi media sosial. Dan yang dibahaskan adalah tentang ayat mutashabihat. Rasanya tidak perlu kita yang lokek ilmu pengetahuan berbahas tentang ayat ini. Sedangkan ulama' sebelum ini sudah maklum mengenainya. Apabila berbeza pendapat dengan guru anda tidak semestinya orang itu terpesong akidahnya. Hakikatnya janganlah terlalu taksub dengan guru anda semata-mata. Jangan hanya berguru dengan seorang guru, sebaliknya berguru dengan ramai guru.

Akhir kata,
"Kehidupan itu ada hikmahnya.

Hikmahnya, Allah s.w.t mahu kita
masuk ke syurga-Nya.

Tinggal kita nampak ataupun tidak hikmah itu, 
Hingga kita berusaha ataupun tidak untuk 
hidup mencapai syurga itu."




Penghayatan Aqidah

Maksud Aqidah :

  • Keimanan yang teguh dalam jiwa hingga tidak mungkin terurai. Ia juga bermaksud percaya secara bersungguh-sungguh dan berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah dan melaksanakannya dalam kehidupan. Wahyu pertama diturunkan (Surah al-Alaq) menjelaskan tentang aqidah yang sempurna.



Pembukaan Bagi Tahun 2013

Assalamualaikum pembaca sekalian, setelah sekian lama saya mendiamkan diri. Akhirnya, dapat juga saya berkongsi ilmu saya yang serba kekurangan ini. Maafkan saya sekiranya anda menunggu post saya yang terbaru. InsyaAllah pada tahun ini, blog saya akan kembali aktif dengan post-post yang bermanfaat.